.
.

Adab Pernikahan

Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Untuk menggalakkan pernikahan, Allah s.w.t telah berfirman: “Dan kahwinkanlah orang bersendirian (belum kahwin) di antara kamu” (QS an-Nur: 32)

Ayat di atas menunjukkan suatu perintah ke atas orang yang belum pernah berkahwin supaya berkahwin.



FirmanNya yang lain: “Maka janganlah kamu menghalang-halangi wanita-wanita untuk berkahwin semula dengan suami-suami mereka.” (al-Baqarah: 232)

Ayat yang tersebut di atas pula melarang untuk menghalang wanita-wanita yang diceraikan oleh suami-suami mereka untuk kembali berkahwin semula dengan mereka.

Kemudian Allah s.w.t. telah berfirman lagi dalam menghuraikan sifat-sifat para Rasul dan memuji sikap mereka:

“Dan kami (Allah) sunguh-sungguh telah mengutus beberapa Rasul sebelum engkau dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.” (QS. ar-Ra’ad: 38)

Allah s.w.t. telah menyebutkan yang demikian itu untuk menunjukkan tanda limpahan kurniaNya serta melahirkan kelebihanNya. Kemudian Allah s.w.t juga memuji para waliNya dengan suatu permohonan dalam bentuk doa sebagaimana firmanNya:

“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah Kami dari isteri-isteri dan keturunan kami cahayamata kami.” (QS al-Furqan: 74)

Di antara Hadis pula, sabda Rasulullah s.a.w.: “Nikah itu adalah sunnatku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnatku, niscaya telah membenci aku.”

Sabdanya lagi: “Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

Hadis ini jelas menunjukkan bahwa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tak mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.

Rasulullah (s.a.w) bersabda lagi: “Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika tidak, dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Hadis ini juga menunjukkan sebab mengapa perkahwinan itu harus digalakkan kerana ditakuti berlaku perkara yang tak baik.

Bersabda Rasulullah s.a.w: “Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak yang saleh mendoakannya.”*
_______________________

* Demikianlah bunyi Hadis itu dalam kitab Ihya Ulumiddin. Tetapi yang saya hafal nasnya adalah seperti berikut: Jika mati anak Adam terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Ilmu yang boleh dimanfaatkan, sedekah jariah (yang manfaatnya terus-menerus) serta anak yang saleh yang mendoakannya (dengan yang baik).

Anak tidak akan terhasil, melainkan dengan berkahwin.

Adapun yang mengenai atsar pula, maka telah berkata Ibnu Abbas r.a.: Tidak sempurna ibadat orang yang beribadat sehingga ia berkahwin. Mungkin sekali Ibnu Abbas telah menjadikan syarat berkahwin itu sebagai sebahagian dari ibadat atau sebagai menyempurnakan ibadat ataupun barangkali beliau bermaksud bahwa hati seseorang itu tidak dapat mengalahkan syahwat melainkan dengan berkahwin dan ibadat pula tidak akan sempurna melainkan dengan ketetapan dan ketanangan hati. Ibnu Abbas selalu mengumpulkan anak-anak buahnya bila mereka telah menginjak alam dewasa seraya berkata kepada mereka: Kamu sekalian telah dewasa. Kalau kamu sekalian ingin berkahwin, aku bersedia untuk mengahwinkan kamu. Sebab seorang hamba itu telah berzina akan tercabutlah cahayan keimanan dari hatinya.

Adapun faedah-faedah perkahwinan ada lima iaitu:
(1) Mendapat anak
(2) Mematahkan syahwat
(3) Mentadbirkan rumahtangga
(4) Membiakkan keluarga
(5) Menggiatkan diri untuk memenuhi keperluan.

Hal-hal yang harus diperhatikan bila memilih jodoh.

Hal-hal baik harus diperhatikan untuk mencapai kehidupan yang tenteram yang berkaitan dengan persoalan wanita supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu akan tercapai ialah delapan perkara: (1) Agama (2) Kelakuan (3) Kecantikan (4) Ringan maskahwin (5) Boleh melahirkan anak (tidak mandul) (6) Perawan (7) Keturunan baik (8) Bukan keluarga yang dekat


Berikut keterangan lanjut mengenai perkara-perkara ini secara satu persatu:

Pertama: Hendaklah isteri itu seorang yang saleh dan berpegang teguh kepada agama. Inilah tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab sekiranya isteri itu lemah agamanya, bagaimana dapat ia memelihara diri dan marwahnya. Kalaulah berlaku sesuatu kecemaran yang menyentuh kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang, sedang hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, makalah kehidupannya ketika itu akan menjadi sempit. Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan cemburu itu, tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika dia mengambil sikap mempermudahkan tentang perkara yang berlaku, tentulah dia akan dituduh mengambil sikap enteng saja tentang agama dan marwahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus.

Walhasil si suami akan berada dalam keadaan yang serba-salah sekali. Demikian pula sifat wanita yang rosak agamanya akan sering mempermain-mainkan harta benda suaminya atau sebagainya, sehingga hidup si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami terus mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, niscaya ia menjadi kongsi dalam maksiat dengan isterinya dan berarti menentang firman Allah Ta’ala: “Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)

Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul pula pertengkaran sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat-sangat menggalakkan dan meransang supaya memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda (SAW) bersabda: “Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai agama yang kukuh, niscaya anda akan bernasib baik.”

Kedua:
Baik budi pekertinya, sebab jika isteri itu banyak mulutnya, lidahnya suka menyebut kata-kata yang rendah, suka mengingkari nikmat, niscaya akan lahir daripadanya lebih banyak bahaya daripada manfaat. Kesabaran atas lidah kaum wanita seumpama ini adalah suatu cubaan yang biasanya dicubakan oleh Allah ke tasa para aulianya.

Ketiga: Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa. Apa yang kami sebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah berarti melarang memilih yang cantik rupanya, bahkan yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan perkara agama. Sebab biasanya wanita yang cantik itu menarik orang kepada perkahwinan, sedangkan urusan keagamaannya sering diletakkan di belakang saja. Jadi anjuran untuk memilih isteri yang cantik itu untuk menjaga rumahtangga menjadi rukun dan damai. Malah syariat sering mementingkan supaya memerhatikan sebab-sebab kerukunan rumahtangga antara suami dan isteri, kerana itulah disunnatkan melihat bakal isteri sebelum berkahwin, sebagai mana sabda Rasulullah (SAW): “Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

Setengah para ahli wara’ tidak akan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka melainkan setelah dilihat oleh calon-calon suaminya untuk memelihara diri dari tuduhan menipu.

Berkata al-A’masy: Semua perkahwinan dijalankan tanpa diberi peluang kepada calon suami untuk melihat terlebih dulu akan berkesudahan dengan kesusahan dan kekesalan.

Pernah diriwayatkan, seorang lelaki berkahwin dalam zaman Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. Orang ini mengecat rambutnya yang beruban itu sehingga kelihatan sebagai seorang anak muda. Apabila ternyata perkara itu kemudiannya, keluarga si isteri pun mengadu kepada khalifah Umar, kata mereka: Kita menyangka ia seorang anak muda. Maka oleh Umar dipukulnya orang itu sehingga ia mengaduh. Khalifah berkata: Engkau telah menipu keluarga isterimu.

Penipuan serupa itu boleh berlaku pada perkara kecantikan dan budi pekerti. Maka sewajarnyalah dilenyapkan tipu daya dalam kecantikan itu dengan diberi tontonan terlebih dulu. Dalam akhlak dan budi pekerti pula, dapat diketahui dengan ditanyakan kepada orang lain ataupun dengan menyaksikan sendiri orangnya. Dan janganlah seseorang itu berani menceritakan kelakuan orang lain, melainkan ia memang benar-benar seorang bijaksana dan mengetahui selok-belok orang yang diceritakan itu secara lahir dan batin, tidak cenderung kepadanya lalu dipuji secara berlebih-lebihan, dan tidak pula membenci sehingga ia mencacinya dan mengatakan yang bukan-bukan. Sebenarnya memang sukar sekali ditemui seorang orang menikmati syarat-syarat ini, dan biasanya amat jarang pula seseorang itu dapat bercakap benar dalam perkara serupa ini, malah kebohongan dan pengeliruan sering melanda suasana ini. Maka seyogyanyalah bagi orang yang ingin menjaga diri, haruslah berhati-hati dalam perkara seumpama ini.

Keempat:
Hendaklah maskahwin si isteri tidak memberatkan kerana memang dilarang oleh agama untuk memahal-mahalkan maskahwin. Setengah para sahabat berkahwin dengan maskahwinnya emas seberat biji kurma yang dianggarkan berharga tidak lebih dari dari lima dirham. Saib Ibnul-Musaiyab mengahwinkan puterinya kepada Abu Hurairaah r.a dengan maskahwinnya sebanyak dua dirham saja, kemudian dia pun menghantarkan puterinya itu kepada Abu Hurairah pada malam itu juga dan setelah diserahkannya di rumah Abu Hurairah lalu dia kembali, Said tidak kembali lagi ke rumah Abu Hurairah itu melainkan setelah berlalu tujuh hari untuk bertanyakan khabar saja.

Ada sebuah Hadis yang mengatakan bahwa antara keberkahan seorang wanita ialah melekaskan perkahwinannnya sehingga ia dapat melahirkan anak dan ringan pula maskahwinnya. Sebagaimana makruh hukumnya memahalkan maskahwin wanita ke atas lelaki, demikian pula makruh hukumnya bertanyakan harta kekayaan wanita oleh lelaki. Tidak sewajarnyalah bagi lelaki untuk menikahi seorang wanita, kerana tamak pada harta kekayaannya semata-mata. Jika lelaki memberikan hadiah kepada keluarga siwanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita dengan hadiah-hadiah yang lebih banyak lagi. Demikianlah pula halnya dengan pihak wanita, kerana niat menginginkan balasan adalah suatu niat yang tidak baik, dan termasuk ke dalam larangan maksud ayat berikut: “Janganlah engkau memberikan lantaran menginginkan balasan yang lebih banyak.” (QS al-Muddatstsir: 6)

Kelima: Hendaklah ia mengetahui, bahwasanya si wanita itu boleh melahirkan anak, kiranya diketahui kemandulannya, maka hendaklah ia menahan diri dari berkahwin dengannya.

Keenam: Hendaklah wanita itu seorang gadis. Berkata Rasulullah s.a.w. kepada Jabir yang baru menikahi seorang janda: “Mengapa tidak menikahi si gadis yang boleh engkau bergurau senda denganmu.”

Ketujuh: Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik putera-puterinya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya. Andaikata ia seorang yang tidak berpendidikan bagaimana ia dapat mendidik dan memelihara anak-anaknya.

Dalam sebuah Hadis: “Pilih-pilihlah tempat meletakkan air mani kamu, kerana urat itu beradu.”

Kedelapan:
Hendaklah wanita itu bukan dari kerabat yang dekat, sebab yang demikian itu akan mengurangkan syahwat, sedangkan itu merupakan perkara utama yang menarik kepada wanita.


Tugas Wali

Seorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan dan geraklaku calon suami, jangan sampai mengahwinkan puterinya kepada seorang lelaki yang cacat atau buruk budi pekertinya, ataupun lemah agamanya. Begitu juga seorang lelaki yang tidak mempunyai tanggungjawab, ataupun yang tidak sekutu dengan kedudukannya. Apabila ia mengahwinkan puterinya dengan seorang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar printah agamanya dan ketika itu akan terdedahlah kepada kemurkaan Allah Ta’ala kerana ia telah mencuaikan persoalan silatur-rahmi (perhubungan tali kerabat) dan telah memilih jalan yang salah.

Seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada al-Hasan, katang: Telah banyak orang yang datang meminangi puteriku, tetapi aku tak tahu siapa yang harus kukahwinkan dia. Berkata al-Hasan: Kahwinkanlah puterimu itu dengan orang yang banyak taqwanya kepada Allah. Andaikata suaminya membencinya, niscaya tiada dianiayainya.


ADAB PERGAULAN SUAMI-ISTERI SEJAK PERKAHWINAN


Kewajiban suami

Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan
kesopanan dalam dua belas perkara iaitu:
(1) Walimatul’urus (undangan perkahwinan)
(2) Pergaulan
(3) Bersenda-gurauan
(4) Pimpinan
(5) Kecemburuan
(6) Pemberian Nafkah
(7) Pengajaran
(8) Pembahagian (kalau isteri lebih dari satu)
(9) Pendidikan sewaktu berlaku penyelewengan
(10) Persetubuhan
(11) Kelahiran anak
(12) Perceraian dengan talaq

Pertama: Mengadakan walimah atau undangan adalah sunnat hukumnya. Berkata Anas r.a.: Apabila Rasulullah s.a.w melihat tanda inai pada Abdul Rahman bin Auf r.a., baginda (SAW) bertanya: "Apa ini?" Abdul Rahman menjawab: Saya telah menikmati seorang wanita dengan maskahwin emas seberat biji kurma. Maka Rasulullah s.a.w pun mendoakan bagi Abdul Rahman: “Moga-moga Allah memberkati anda! Adakanlah walimah, walaupun dengan makan roti dan kurma."

Selain itu sunnat memberikan tahniah (ucapan selamat pengantin baru) kepada orang yang baru berkahwin. Seorang yang berjumpa dengan pengantin lelaki mengucapkan: “Moga-moga Allah memberikan keberkahan kepadamu dan keberkahan untukmu dan menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Sunnat juga mengisytiharkan perkahwinan kepada orang ramai supaya diketahui. Bersabda Rasulullah (SAW): “Yang memisahkan antara yang halal dengan yang haram ialah bunyi-bunyian rebana dan nyanyian.”

Kedua: Memelihara pergaulan yang baik dengan isteri-isteri serta menanggung segala keburukan yang mungkin berlaku daripada mereka sebagai menunjukkan tanda belas kasihan terhadap mereka itu.

Allah telah berfirman: “Dan pergaulilah mereka dengan cara yang baik.” (QS an-Nisa’: 183)

Allah telah berfirman lagi pada menyatakan kebesaran hak mereka ke atas suami: “Dan mereka sekalian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat daripada kamu.” (QS an-Nisa’: 20)

FirmanNya lagi: “Dan teman yang di samping.” (QS an-Nisa’: 36)

Setengah para mufassirin mengartikan ayat ini dengan isteri yang sering berada di samping suami sepanjang masa.

Maksud memperbaiki pergaulan dengan isteri-isteri itu bukanlah dengan semata-mata menahan diri dari menimpakan ke atas mereka sesuatu yang tiada diingininya, malah menanggung segala yang tiada menyenangkan yang mungkin timbul dari mereka, serta bersifat sabar dan tabah untuk menghadapi segala sikap kurang pertimbangan dan kemarahan mereka. Ini adalah untuk menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. kerana isteri-isteri Rasul (SAW) sendiri kadang-kadang melakukan sesuatu yang tiada menyenangkan hati Rasulullah s.a.w dan ada pula yang merajuk meninggalkan baginda sampai sehari suntuk hingga ke malam.

Ketiga: Hendaklah suami menambah atas sikap kurang pertimbangan dari isteri itu dengan bersenda gurau, memuji-muji serta bermain-main dengannya, kerana semua itu akan melembutkan hati kaum wanita. Rasulullah s.a.w seringkali bersenda gurau dengan isteri-isterinya dan menuruti kehendak-kehendak mereka, sesuai dengan kadar akal fikiran mereka dalam segala macam perbuatan dan perilakunya. Sekali peristiwa pernah baginda Rasul (SAW) mengajak Siti Aisyah r.a. melihat permainan orang-orang habsyi di kawasan masjid dan berdirilah baginda di situ menemaninya sebegitu lama sehingga baginda berkata: "Sudah puas?"

Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik sekali terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik sekali di antar kamu terhadap isteriku.”

Berkata Rasulullah s.a.w kepada Jabir: “Mengapa tidak perawan yang boleh engkau bermain-main dengannya dan ia bermain-main denganmu?”

Seorang wanita dusun telah mensifatkan suaminya yang telah meninggal dunia dengan berkata: Demi Allah, sebenarnya suamiku itu seorang yang sering ketawa ketika di rumah, pendiam ketika di luar rumah, ia makan apa saja yang aku hidangkan (tidak cerewet), tidak pernah bertanya bila sesuatu tidak ada.

Keempat: Janganlah sang suami melampaui batas dalam persenda-gurauannya dengan isteri, ataupun bersikap terlampau baik sekali sehingga isteri naik muka dengan memaksa suami menurutkan segala kehendak hawa nafsunya sehingga ke batasan merosakkan akhlak dan kelakuan si isteri. Dengan itu terjatuhlah marwah suami di hadapan khalayak ramai. Tetapi yang dianjurkan ialah bersikap sederhana pada segala keadaan. Jika dilihat sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh isteri. Hendaklah suami jangan berdiam diri saja, bahkan menegahnya dan membuktikan kejantanannya sebagai seorang suami ke atas isteri. Begitu juga jangan sampai dia yang mula membuka peluang bagi isteri untuk melakukan berbaga-bagai kemungkaran, malah bila dilihat isterinya berani membuat sesuatu yang melanggar hukum syara’ atau hukum adat dan marwah, hendaklah ia menunjukkan kemarahannya dan ketidak-senangnya terhadap perkara itu.

Ingatlah bahwa segala terisi di dalam petala langit dan bumi itu diciptakan Tuhan dengan keadilan maka segala yang melampaui had atau batasan keadilan akan terlungkup dengan lawannya.

Sewajarnyalah suami mengambil jalan tengah atau ekonomi, baik dalam menuruti atau menolak kehendak isteri. Hendaklah ia menegakkan kebenaran yang hak pada segala keputusannya, sehingga ia terselamat dari bencana isterinya. Sebab pada kebanyakkan hal, kaum wanita selalu suka berkelakuan buruk, dan sifat tersebut tidak akan terhindar dari mereka, melainkan dengan secara lemah-lembut yang diiringi dengan kebijaksanaan. Oleh itu adalah menjadi suatu tugas utama bagi sang suami memerhati dan meneliti kelakuan isterinya, bermula dengan berbagai percubaan, kemudian mencuba pula meluruskan semua kelakuan yang bengkok itu, sebagaimana yang diharuskan oleh keadaan dan peri-kerukunan rumahtangga.

Kelima: Kalaupun suami cemburu, hendaklah bersikap sederhana; iaitu jangan sampai ia melalaikan pokok-pokok persoalan yang akan menimbulkan berbagai-bagai bencana yang tidak diingini di dalam rumahtangga. Tidak sewajarnyalah suami bersikap pelampau dalam perkara melemparkan buruk-sangka terhadap isteri, atau menunjukkan kekerasan atau mengintip rahsia-rahsianya, sebab Rasulullah s.a.w pernah melarang mengikuti aurat-aurat (rahsia-rahsia) kaum wanita. Pada riwayat yang lain baginda melarang menyerempak kaum wanita pada gerak-lakunya.

Sekali peristiwa, apabila Rasulullah s.a.w kembali pelayaran di waktu malam, baginda menyeru para sahabatnya sebelum masuk kawasan negeri Madinah; Janganlah kamu mengetuk rumah isteri-isteri kamu di waktu malam, maksudnya jangan mendapatkan mereka di waktu malam begitu; malah hendaklah mereka bersabar sehingga tiba waktu siang. Malangnya ada dua orang di antara mereka melanggar nasihat Rasulullah s.a.w itu, Mereka terus kembali pada malam itu juga, lalu mereka mendapati perkara-perkara yang tiada diingini telah berlaku di rumah masing-masing.

Dalam sebuah Hadis lain: Sesungguhnya di antara berbagai-bagai cemburu, ialah cemburu yang dibenci oleh Allah azzawajalla; iaitu cemburu seorang lelaki terhadap isterinya tanpa sebab. Kerana sifat itu timbul dari perasaan buruk sangka dari dalam diri, yang mana kita di larang keras bersifat demikian. Adapun cemburu yang memang kena pada tempatnya, maka itu adalah memang semestinya ada dalam diri seseorang dan ia termasuk sifat yang terpuji; iaitu sifat cemburu yang bersebab.

Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kaum wanita pergi ke masjid terutama sekali untuk menunaikan dua sembahyang Hari Raya. Keluar ke masjid kaum wanita yang sopan adalah harus hukumnya, tetapi dengan syarat redha suaminya. Walau bagaimanapun meninggalkannya atau tidak menghadirinya lebih terselamat dari fitnah. Sewajarnyalah kaum wanita tidak keluar dari rumahnya melainkan bila ada hal-hal yang penting. Jika keluar untuk bersiar-siar atau kerana perkara-perkara yang tidak perlu akan mencemarkan marwah atau nama baik mereka, dan tidak mustahil pula boleh menarik kepada keburukan. Tetapi kalau mesti keluar juga, maka hendaklah ia memalingkan pemandangannya dari kaum lelaki. Kita tidak mengatakan bahwa wajah lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, sebagaimana wajah wanita dikira aurat pada kaum lelaki, bahkan lebih dari itu; iaitu sebagaimana wajah anak muda Amrad (anak muda yang yang sengat cantik dan putih pula kulitnya – pent) yang dikira haram dipandang oleh kaum lelaki dalam keadaan ditakuti berlaku fitnah. Andaikata tiada ditakuti fitnah, maka tiadalah haram hukumnya melihat wajah Amrad itu, sebab pada lazimnya kaum lelaki terbuka wajahnya di sepanjang masa. Kaum wanita pula bila keluar rumah sememangnya dalam keadaan berselubung. Andaikata wajah kaum lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, niscaya mereka juga akan diperintahkan untuk menyelubungi seluruh anggotanya seperti wanita, ataupun kaum wanita itu akan dilarang untuk keluar rumah sama sekali, melainkan kerana urusan–urusan dharurat saja.

Keenam: Berlaku sederhana dalam memberikan nafkah. Jangan terlalu lokek (kikir) memberikan nafkah kepada isteri, dan jangan pula terlalu boros, maka hendaklah memilih jalan tengah; iaitu secara berekonomi. Allah berfirman: “Makan dan minumlah dan jangan berlaku boros.” (al-A’raf: 31)

Ibnu Sirin berkata: Sunnat bagi suami menghidangkan untuk isterinya manis-manisan seminggu sekali pada hari Jumaat. (yakni dibelinya dari pasar --- pent)

Suami hendaklah menyuruh isterinya supaya mensedekahkan makanan-makanan yang lebih-lebih yang tidak diperlukan lagi, ataupun makanan-makanan yang kalau disimpan lama niscaya akan rosak. Ini pun dikira sebagai darjat yang paling rendah dari kebaikan. Si isteri juga boleh melakukan serupa itu dengan hukum keadaaan, tanpa mendapat izin atau persetujuan dari suaminya terlebih dulu. Janganlah hendaknya si suami itu mementingkan dirinya saja dengan makanan yang sedap-sedap tanpa dibahagikan kepada isteri juga, kerana kelakuan yang demikian akan menimbulkan rasa tidak senang di dalam hati isteri, yang berkesudahan akan menghasilkan perhubungan yang tidak mesra di antara keduanya. Seterusnya jangan pula menceritakan kepada keluarganya tentang makan-minum yang ia tidak akan mahu menyediakannnya untuk mereka. Jika ia makan hendaklah ia mengajak anak-isteri makan bersama-sama dalam suatu hidangan yang sama.

Di antara yang terpenting sekali dalam perkara memberi nafkah atau belanja ini ialah menjaga nafkah atau belanja itu supaya datang dari jurusan yang halal; dan jangan pula kerana tuntutan isteri, ia sampai mencampur-adukkan nafkah itu dengan kerja-kerja yang kotor atau tak baik. Sebab yang demikian itu adalah suatu jenayah terhadap si isteri dan tidak boleh dikatakan untuk memelihara hatinya

Ketujuh: Seorang yang ingin berkahwin, hendaklah terlebih dulu mempelajari hal-hal kaum wanita datang haidh dan hukumnya sekadar termampu, untuk mengetahui hukum wajibnya saja, kemudian hendaklah ia mengajar isterinya cara-cara bersembahyang dan hukumnya serta mengingatkannya tentang kemurkaan Allah Ta’ala jika ia tidak mengambil berat tentang perkara-perkara agamanya. Andaikata suami juga kurang pengetahuan dalam urusan agamanya, tetapi dia berusaha pergi bertanyakan orang-orang yang alim, lalu kembali menunjuk-ajar kepada isteri, maka dalam hal ini juga tidak patut isteri keluar kerana maksudnya bertanya. Tetapi jika suami tidak pedulikan juga, bolehlah isteri keluar kerana maksud bertanya. Tetapi jika suami pedulikan juga, bolehlah keluar itu, meskipun suami tidak membenarkan dan harus baginya melanggar larangan suaminya.

Kedelapan: Jika suami mempunyai beberapa isteri, maka hendaklah ia bersikap adil terhadap sekalian isteri-isterinya itu, dan tidak boleh ia melebihkan yang satu dari yang lain. Jika ia ingin keluar negeri dan mahu membawa seorang isteri bersamanya, maka hendaklah ia mengundi antara mereka. Dalam hal suami telah menzalimi seseorang isteri tentang gilirannya, maka seyogyalah ia mengqadha’kan harinya, sebab qadha’ itu wajib. Wajib yang lain ialah adil dalam pemberian dan giliran tidur dan tidak wajib baginya untuk menyamaratakan kasih sayang dan persetubuhan, sebab itu tiada termasuk dalam kuasa pilihannya.

Rasulullah s.a.w. ketika dalam masa sakitnya diusung setiap hari dan setiap malam antara isteri-isterinya bila sampai giliran masing-masing. Baginda (SAW) tetap tidur di rumah salah seorang isterinya di mana jatuh giliran masing-masing, tetapi jika ada di antara mereka yang mengalah untuk rekannya, maka baginda (SAW) akan bermalam di situ pula.

Kesembilan: Dalam keadaan isteri bernusyuz (menentang suami), hendaklah suami cuba mengajarnya dengan baik supaya ia kembali taat kepada suami. Apabila berlaku perselisihan antara suami-isteri dan perkaranya tidak dapat diselesaikan sendiri, maka jika perselisihan itu berpuncak dari kedua belah pihak, ataupun yang ternyata perselisihan itu berpuncak dari pihak suami, sedangkan isteri tidak berupaya untuk menenangkan suaminya, ataupun suami tidak dapat berbuat sesuatu untuk membetulkan semula isterinya; dalam keadaan serupa ini mestilah dicari dua orang hakam sebagai orang tengah. Seorang dari pihak suami dan seorang yang lain dari pihak isteri untuk mengadili perkara keduanya dan cuba menyelesaikan perselisihan itu secara damai, sesuai dengan semangat firman Allah Ta’ala: “Jika keduanya memang mahukan perdamaian, niscaya Allah akan memberikan taufiq antara mereka.” (QS an-Nisa’: 35)

Tetapi jika nusyuz itu berpuncak dari pihak isteri semata-mata, maka Allah telah pun berfirman di dalam al-Quran al-Karim: “Pihak lelaki itu lebih mampu meluruskan kaum wanita.” (an-Nisa’:34)

Suami tentu sekali mampu mendidik isteri dan membimbingnya ke jalan mentaati suami secara paksaan. Dalam cara membimbingnya, haruslah diambil jalan secara berperingkat-pringkat; iaitu mula-mula dengan menasihati isterinya secara lemah-lembut dan mengingatkannya akan hak isteri terhadap suami dan mengancamnya bahwa perbuatannya itu akan dikutuki oleh Allah, jika ia ingkar. Kalau ini tidak memberikan kesan, maka hendaklah ia membelakanginya di tempat tidur sendirian meskipun ia masih tinggal bersama-sama dalam sebuah rumah. Hal serupa ini ditempohkan hingga tiga malam berturut-turut. Jika tidak berjaya juga untuk meluruskannya, maka syara’ dalam peringkat ini membolehkan suami memukul isteri dengan pukulan yang tidak mencederakan. Bila memukul jangan ditujukan di muka, kerana yang demikian adalah ditegah dengan keras.

Kesepuluh: Dalam adab-adab bersetubuh. Sunnat dimulakan dengan perbualan-perbualan manis dan bercumbu-cumbun, manakala suami menutup kepalanya dan suaranya direndahkan seolah-olah, dia sedang berbisik-bisik.

Apabila telah memuncak keinginannya, hendaklah ia menunggu seketika sehingga isteri pula datang nafsunya. Hendaklah suami jangan mendatangi isteri sewaktu haidh bahkan hendaklah ia menunggu seketika sehingga ia bersih dari haidh, tetapi bolehlah ia bersenang-senang dengan seluruh tubuh badannya, melainkan bersetubuh saja yang dilarang.

Janganlah pula ia cuba mendatangi isteri yang dalam haidh itu pada jalan lain yang telah ditentukan. Perbuatan yang demikian itu adalah ditegah dengan keras, kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu bahaya atau penyakit.

Ketahuilah bahwa bahaya dan penyakit itu sentiasa ada, sebab itu ia menjadi lebih keras haramnya daripada bersetubuh dengan isteri yang sedang haidh. Allah telah berfirman: “Hendaklah kamu mendatangi ladangmu (isterimu) sebagaimana yang kamu ingini.” (QS al-Baqarah: 223)

Maksud dari ayat sebagaimana yang kamu ingin ialah pada bila-bila masa yang kamu merasa berkeinginan.

Sewaktu isteri masih dalam haidh, tiada tegahan bagi suami untuk beristimna’ (mengusahakan keluarnya air mani) dengan membiarkan tangan isteri bermain-main pada seluruh tubuh badan suami, begitu pula boleh juga suami meraba-raba bahagian-bahagian yang di dalam kain isteri sehingga naik syahwatnya, hanya yang dilarang ialah bersetubuh saja. Malah tiada larangan seseorang suami mengajak isteri yang dalam haidh makan bersama-sama dengannya, atau baring bersama-sama, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.

Di antara adab-adab bersetubuh lagi, janganlah ia ber’azal (menumpahkan air mani di luar kemaluan wanita), sebab tidak ada suatu yang bernyawa yang telah ditakdirkan Allah wujudnya melainkan ia tetap akan wujud bagaimana sekalipun diusahakan untuk mengelakkannya.

Mengenai perbuatan ‘azal itu, ada berbagai-bagai pendapat ulama. Ada yang mengharuskan [mungkin maksudnya 'makruh', wallahu a'lam, ed. MD], dan ada pula yang menghalalkan dengan syarat keredhaan isteri. Jika isteri tidak redha maka dihukumkan haram supaya isteri tidak teraniaya. Tetapi pendapat yang betul ialah pendapat yang pertama, iaitu harus hukumnya.

Tersebut dalam Sahih Bukhari dan Muslim sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh jabir r.a. katanya; Kita pernah melakukan ‘azal dalam zaman Rasulullah s.a.w. padahal al-Quran masih turun ke atas baginda. Dengan lafaz yang lain: Kita pernah melakukan ‘azal, maka berita itu telah sampai ke pengetahuan Nabi Allah s.a.w tetapi baginda tiada melarang kami.

Barangkali faedah melakukan ‘azal’ ini kerana hendak memelihara kecantikan isteri dan kesihatannya supaya sering dapat bersenang-senang dengannya. Ataupun untuk mengekalkan perkongsian hidup dengannya supaya terjatuh dari bahaya talaq. Ataupun kerana sebab-sebab yang lain, seperti tidak suka banyak anak sehingga menyebabkan kesukaran untuk mencari nafkah, atau untuk memelihara diri dari keperluan bekerja terus-menerus untuk mencari kelebihan rezeki, dan melakukan kerja-kerja yang tak baik atau lain-lain lagi. Sebab kurangnya kesukaran dalam kehidupan akan menolong kepada menegakkan agama.

Kesebelas: Dalam adab-adab melahirkan anak, ada lima perkara:
(1) Jangan sampai terlalu gembira bila menerima anak lelaki, atau terlalu dukacita bila mendapat anak perempuan, kerana dia tidak mengetahui di mana letaknya tuah di antara keduanya. Betapa banyaknya orang yang dianugerahi anak lelaki merasa kesal di kemudian hari, dan bercita-cita kalaulah anak itu tiada dilahirkan sama sekali. Yang lain pula mengharapkan anak itu, kalau boleh menjadi perempuan saja. Bahkan pada menerima anak perempuan itu, ada kalanya lebih besar pahalanya.

Berkata Anas meriwayatkan Hadis dari Rasulullah s.a.w., sabdanya: Barangsiapa yang mempunyai dua orang anak perempuan, ataupun dua orang saudara perempuan, lalu ia membuat baik kepada keduanya selama ia berdampingan dengan mereka, nanti kelak di dalam syurga saya dan dia seperti dua jari ini.

(2) Hendaklah diazankan di telinga bayi sebaik-baik saja ia lahir dari perut ibunya.

(3) Hendaklah bayi itu dinamakan dengan nama yang baik. Sesiapa yang telah diberikan nama yang tak baik, sunnat diubah nama itu dengan yang lain.

(4) Sunnat dibuatkan aqiqah iaitu menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki atau seekor bagi anak perempuan. Kemudian sunnat pula disedekahkan emas atau perak seberat rambutnya yang dipotong pada hari ketujuh.

(5) Hendaklah diamanahkan ke dalam mulutnya dengan sebutir kurma atau lain-lain manisan, kerana yang demikian itu dari amalan Rasulullah s.a.w

Kedua belas: Dalam perkara talaq yang mana ia merupakan perkara harus yang amat dibenci di sisi Allah Ta’ala. Talaq itu dihukumkan harus, apabila ia tiada disertai dengan penganiyaan dengan jalan yang salah. Namun demikian apabila seseorang telah mentalaq isterinya, maka tentulah ia telah menyakiti hatinya, sedangkan menganiaya atau menyakiti orang lain tiada dibenarkan oleh agama melainkan jika berlaku kesalahan dari pihak isteri, ataupun timbulnya suatu dharurat dari pihak lelaki. Allah telah berfirman: “Jika isteri-isteri itu mentaati kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menganiayai mereka.” (QS an-Nisa’: 34)

Yakni, maksudnya janganlah pula kamu mencari jalan untuk mentalaqkan mereka itu. Tetapi jika ayah si suami tiada senang dengan isteri anaknya, bukan kerana sesuatu sebab yang tak baik, maka hendaklah is mentalaqkan isteri sebagai tanda ketaatan kepada ayah.

Dalam hal isteri menyakiti suami, ataupun berlaku buruk terhadap keluarga suami, maka is dikira bersalah. Begitu pula, jika isteri itu buruk perilakunya ataupun rosak agamanya. Tetapi jika penganiyaan berlaku dari suami terhadapnya, maka ada jalan bagi isteri untuk menebus dirinya dari suami yang zalim itu dengan membayar wang. Dalam hal ini, makruh bagi lelaki untuk menuntut tebusan wang lebih daripada kerugiannya, kerana yang demikian itu adalah semacam tekanan atau bebanan untuk memberati isteri. Bahkan ini berarti seolah-olah sebagai memperniagakan kemaluan wanita.

Allah telah berfirman: “Tidak mengapa atas keduanya pada apa yang dibayar oleh perempuan untuk menebus dirinya.” (QS al-Baqarah: 229)

Jadi pengambilan apa yang telah diambil dari suami itu adalah hak untuk dijadikan tebusan diri isteri dari suami. Adapun isteri yang meminta talaq apa-apa sebab, maka ia berdosa besar sekali.

Seorang suami yang ingin mentalaqkan isterinya, hendaklah memerhatikan empat perkara berikut, iaitu:

(1) Hendaklah ia mentalaqkan isterinya dalam keadaan suci dari haidh yang belum ia bersatu dengannya. Sebab talaq dalam waktu haidh ataupun dalam masa suci yang ia telah bersatu dengannya adalah seperkara did’ah yang haram, sekalipun memang ia sengaja melakukan perbuatan itu menjadikan masa iddahnya lebih panjang. Sekiranya ia telah melakukan itu, maka hendaklah ia merujuk isterinya semula. Kemudian ia tunggu pula hingga ia suci sekali lagi, kemudian haidh, kemudian suci lagi, dan pada masa itu terserahlah kepadanya, kalau mahu ditalaqkannya ataupun dibiarkan saja dalam aqadnya.

(2) Hendaklah ia menjatuhkan talaq satu, kerana dengan talaq satu pun sudah terhasil meksudnya. Kemudian faedah dari talaq satu, suami boleh rujuk semula sewaktu dalam iddah, jika ia merasa sesal dengan keputusannya yang mula-mula. Jika ia menjatuhkan talaq tiga sekaligus, barangkali ia akan menyesal, maka ketika itu ia tidak boleh kembali lagi kepada isterinya melainkan dengan jalan muhallil; iaitu isterinya dinikahi oleh orang lain lebih dulu sekadar pelepasan nafsunya, kemudian diceraikan dan barulah boleh berkahwin semula dengannya. Aqad nikah muhallil ini ditegah dan dalam hal ini dialah yang menjadi penyebab aqad muhallil itu.

(3) Hendaklah ketika menyebutkan talaq itu dengan suara lemah-lembut dan menerangkan sebab mengapa ia terpaksa mentalaqnya tanpa kekerasan. Dalam pada itu hendaklah ia menyabarkan dan menggembirakan hati isteri yang ditalaqnya itu dengan sesuatu hadiah, sebagai penutup sakit hatinya dikeranakan berita talaq yang disampaikan kepadanya. Allah telah berfirman: “Dan berikanlah (isteri-isteri yang diceraikan itu) pemberian,” (QS al-Baqarah: 236)

Al-Hasan bin Ali r.a. pernah menyampaikan perkata talaq dua orang isterinya kepada para sahabatnya dengan meminta mereka menyebutkan tentang talaq itu kepada dua isteri tersebut. Kemudian beliau telah membayar kepada setiap isteri sepuluh ribu dirham.

(4) Janganlah sampai suami membocorkan rahsia isteri, sama ada sewaktu talaq ataupun sewaktu menikah, sebab ada tegahan keras yang melarang membocorkan rahsia kaum wanita dengan ancaman yang paling berat.

oleh: DHB Wicaksono

Popular Posts

Cari halaman terkait

Apian mblakrax hunting edelweis. Diberdayakan oleh Blogger.
Powered By Blogger